KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara yang dikenakan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut menegaskan, kerajaan komited untuk terus memperkukuh undang-undang dan penguatkuasaan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, kementerian memandang serius kejadian nyawa terkorban angkara pemandu bawah pengaruh alkohol mahupun dadah, malah kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.
“MOT merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang terbabit nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang, akibat pemandu berada bawah pengaruh alkohol serta dadah seperti yang dilaporkan media.
“Kehilangan ini amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan saja meragut nyawa tidak berdosa, malah menjadi satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan, seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki mabuk di Jalan Raya Barat di Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey dilaporkan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, kereta jenis Honda City berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan.
Perlanggaran itu menyebabkan mangsa lelaki tempatan berumur 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi dan disahkan meninggal dunia. Hasil ujian saringan mendapati pemandu Honda City itu positif alkohol serta dadah.
Anthony memaklumkan sebelum ini, pindaan undang-undang berkaitan sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020, yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.
Berdasarkan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana individu yang memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan berulang pula, hukuman adalah lebih berat dengan penjara tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000.
“MOT menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyegerakan siasatan kes ini secara menyeluruh supaya kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan pendakwaan, dan seterusnya berharap mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat sekiranya didapati bersalah.
“Pada masa sama, MOT juga sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain hukuman penjara yang dikenakan,” katanya.


