AMALAN rasuah di negara ini hanya boleh dihapuskan melalui kepimpinan yang tegas dan kesungguhan politik tanpa sebarang kompromi.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu dinilai berdasarkan pengalamannya selama 42 tahun dalam bidang penguatkuasaan dan pencegahan rasuah.
Menurut beliau, selepas lebih 42 tahun berkhidmat dalam SPRM, beliau merumuskan satu perkara yang sangat jelas iaitu rasuah tidak dapat dihapuskan hanya dengan penguatkuasaan undang-undang.
“Sebaliknya, ia dapat dibanteras apabila mempunyai kepimpinan yang tegas dan tidak berkompromi, selari dengan penguatkuasaan yang konsisten serta tanpa berbelah bahagi.
“Selain itu, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan sektor swasta juga penting, selain masyarakat awam perlu dipupuk dengan kesedaran untuk menolak rasuah serta memupuk integriti,” katanya berucap pada program Wacana Ilmiah Perdana anjuran SPRM dan Asia e University (AeU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Azam memberitahu, kejayaan atau kegagalan sesuatu sistem tidak ditentukan oleh undang-undang semata-mata, tetapi oleh kepimpinan yang mempunyai kesungguhan politik yang jelas, tegas dan tidak berkompromi.
“Walaupun belum ada sistem yang baik, reformasi dan pergerakan ke arah tadbir urus yang lebih efisien, berintegriti dan mantap akan berlaku di bawah kepimpinan seperti ini.
“Sebagai contoh, Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi satu langkah yang tegas, menyeluruh dan proaktif.
“Ia adalah dokumen hidup dan kerangka utama Malaysia yang bertujuan meningkatkan integriti, tata kelola baik serta mencegah rasuah secara menyeluruh bagi memacu reformasi pentadbiran negara,” katanya.
Azam menambah, jika kepimpinan lemah atau berkompromi, ia tetap akan gagal walau sebaik mana sistem yang dibina.
“Oleh itu, kepimpinan bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan untuk memastikan usaha membanteras rasuah dan pemerkasaan integriti serta tadbir urus berada di atas landasan yang betul,” katanya.


