Polis kesan pemandu disyaki punca nahas 6 kenderaan

POLIS sedang mengesan seorang pemandu kereta Proton Saga yang menghilangkan diri selepas dipercayai menjadi punca kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Cheng Heights, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.51 pagi itu, kenderaan berkenaan yang datang dari arah Malim dipercayai hilang kawalan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah Mercedes-Benz.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit didaftarkan atas nama seorang warga asing, namun identiti pemandu masih belum dikenal pasti.

“Pemandu dipercayai meninggalkan lokasi sejurus kemalangan dan sehingga kini masih belum dikesan.

“Setakat ini juga tiada rekod menunjukkan individu terbabit mendapatkan rawatan di mana-mana hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Zaki, kemalangan itu turut membabitkan beberapa kenderaan lain termasuk Toyota Vios, Perodua Bezza, van jenis Nissan dan Toyota Camry.

Katanya, dalam kemalangan itu dua lelaki yang menaiki Toyota Vios berusia 63 dan 32 tahun cedera di kepala, mata serta kaki kiri dan dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, usaha mengesan pemandu terbabit sedang giat dijalankan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Ikhram Azmi di talian 011- 2655 9539 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Media semalam melaporkan dentuman kuat mengejutkan orang ramai sebelum sebuah Proton Saga terbakar dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di depan Bazar Mara, Jalan Bertam Malim ke Cheng.

Saksi kejadian, Shahrizal Ahmad, 48, berkata dia menyaksikan kejadian itu dari bangunan tempat kerjanya yang terletak kira-kira 40 meter dari lokasi.

Ketika itu, katanya dia terdengar dentuman kuat sebelum melihat beberapa kenderaan terbabit dalam kemalangan dan sebuah daripadanya terbakar.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img