Pemandu treler maut dirempuh lori selepas kenderaan terbabit kemalangan

SEORANG pemandu treler maut dirempuh lori, ketika melintas jalan untuk menyelamatkan diri selepas kenderaan dipandunya terbabas, di Kilometer 178.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di Jasin semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa yang sedang memandu treler dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas ke kiri lebuh raya, melanggar pembahagi jalan dan menggelongsor ke lereng bukit sebelum merempuh pokok.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4.05 petang, melalui kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin selepas dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC).

Katanya, siasatan mendapati treler jenis Volvo dipandu mangsa lelaki berusia 58 tahun itu, membawa muatan kenderaan import terpakai dari Pelabuhan Klang, Selangor menghala ke Muar, Johor.

Sementara itu katanya, lori Nissan CD4 membawa muatan bahan mentah itu pula dipandu lelaki berusia 64 tahun, dari arah utara menghala ke arah selatan melalui PLUS.

“Selepas kemalangan, pemandu keluar dari treler dan cuba melintas lebuh raya dan pada masa sama lori yang sedang bergerak lurus di lorong kiri tidak sempat menekan brek dan mengelak mangsa yang melintas secara mengejut lalu melanggarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan pelanggaran itu, mangsa tercampak di atas lebuh raya dan mengalami kecederaan di kepala serta badan lalu dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

“Kira-kira jam 9.20 malam polis menerima maklumat dari Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tangkak memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img