‘’Ada risiko besar, kartel  begitu kuat tetapi kita tawakal kepada Allah SWT’’ – Anwar

TEKAD  Kerajaan MADANI dalam memerangi kartel dan penyeludupan habis-habisan memberikan risiko yang besar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri langkah luar biasa itu tetap dilakukan untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini.

Beliau berkata, isu kartel dan penyeludupan bukanlah suatu isu baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak puluhan tahun, namun tidak dibendung kerana tiada upaya serta tekad politik.

“(Tekad ini memberikan) risiko besar kepada SPRM, LHDN dan PDRM. Semua risiko besar kerana mereka (kartel) sudah begitu kuat, tetapi kita sentiasa bertawakal kepada Allah SWT.

“Langkah kita ambil itu langkah luar biasa … bayangkan berpuluh-puluh tahun terbiar dan puluhan bilion ringgit hilang … ukurannya (tekad ini) ialah usaha untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Bangi hari ini.

Anwar turut menyelar tindakan segelintir individu yang membisu dengan kejayaan agensi penguat kuasa menumpaskan kartel dan penyeludupan di negara ini.

“Kalau dengar perbicaraan (perbahasan) di Parlimen tidak ada yang bersuara … boleh kata beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan (menyokong usaha banteras kartel), tetapi sebelah sana (pembangkang) langsung tiada.

“Saya berterima kasih kepada SPRM dan polis yang menjalaknan tugas selamatkan negara kita. Penyeludupan saya (pernah) sebut di Parlimen, (antaranya) kontena keluar masuk di pelabuhan puluhan tahun dengan seludup barang masuk dan barang keluar,” kata beliau.

Sebelum ini, Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel, susulan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia tidak pernah tunduk dengan mana-mana kuasa asing dalam menentukan soal dasar luar serta hubungan dagang, sebaliknya negara ini kekal berdaulat dan bebas.

Anwar berkata dakwaan yang menyatakan negara ini tunduk kepada Amerika Syarikat (AS) susulan Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART) adalah tidak berasas, kerana tiada mana-mana peruntukan dalam perjanjian dagang dengan AS yang menghalang Malaysia daripada bertindak menurut kepentingan keselamatan negara.

“Kita terikat dengan undang-undang dan peraturan negara kita. Kita ada hak untuk menilai semula, memberi notis untuk membatalkan (perjanjian). (Kita) diserang bertubi-tubi. Kalau benar kita tunduk pada Amerika, mengapa kita tandatangan (perjanjian) dengan China?,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata beliau tetap menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan minggu hadapan, meskipun Amerika memilih untuk memboikot sidang tersebut.

“Saya hadir kerana jemputan Presiden Afrika Selatan (Matamela Cyril Ramaphosa). Saya tidak tunduk pada dasar luar Amerika. Kita ada dasar kita sendiri. Malaysia ini negara bebas, bermaruah dan merdeka,” tegas Perdana Menteri.

Pada masa sama, Anwar menegaskan Malaysia tidak pernah menyokong pelan 20-point plan for Gaza sebaliknya konsisten mengangkat penyelesaian komprehensif bagi Gaza dan Palestin.

“Itu beza besar. Penyelesaian komprehensif bermaksud mengiktiraf hak Gaza dan Palestin sebagai negara merdeka dan berdaulat, serta menolak kekejaman Israel di Tebing Barat,” kata beliau.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img