“SAYA ni terpaksa guna duit pencen untuk bayarkan hutang sebagai penjamin kepada individu yang sengaja tak mahu bayar balik pinjaman MARA!”
Itulah yang diluahkan oleh seorang pesara kerajaan kepada Pengerusi MARA, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki berikutan tindakan seorang peminjam MARA enggan membayar hutang yang beliau menjadi penjaminnya.
Berikut adalah catatan Dr.Asyraf Wajdi yang turut mengarahkan pakcik tersebut tidak membayar hutang berkenaan sehingga peminjam ditemui:
‘’Ketika saya turun meninjau reruai di lobi MARA sempena Program Peace of Mind tengahari tadi, saya tererempak dengan seorang Pakcik yang sedang berurusan di kaunter untuk berunding mengenai pembayaran balik hutang pinjaman pelajaran MARA.
‘’Yang menyebabkan darah saya menyirap, rasa marah bercampur simpati ialah kerana Pakcik yang merupakan seorang pesara kerajaan ini hanyalah penjamin dan menjadi mangsa kepada peminjam yang culas tidak mahu bertanggungjawab melangsaikan hutang pinjaman pelajaran luar negara, walaupun kini sewenangnya memperagakan kemewahan dan kesenangan hidupnya di media sosial.
‘’Saya pantang dengan peminjam yang culas! Kalau berhutang, tunaikanlah janji. Jangan memangsakan penjamin yang dahulunya kita merayu untuk dibantu. Bila sudah berjaya, hutang tidak mahu bayar, malah penjamin dibiarkan menderita akibat kecurangan kita.
‘’Dalam kes ini, saya telah mengarahkan supaya MARA ambil tindakan tegas menjejaki dan mengambil tindakan perundangan terhadap peminjam terlebih dahulu. Jangan sampai yang teraniaya dihukum, sedangkan yang bersalah bebas, meneruskan kehidupannya tanpa sedikitpun rasa bersalah.’’
Dalam klip video itu, Asyraf Wajdi meminta pegawai-pegawai MARA mencari peminjam terlibat yang kini dikatakan hidup mewah.


