SEORANG bapa maut manakala anak perempuannya berusia lapan tahun parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas dan merempuh besi penghadang di Kilometer 155.8, Lebuhraya Utara-Selatan PLUS (arah selatan) dekat susur keluar Bukit Gambir petang semalam.
Nahas berlaku pada jam 5 petang ketika kenderaan dinaiki tiga beranak terbabit dalam perjalanan ke arah Johor Bahru hingga menyebabkan mangsa, Sufaat Aini, 46, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, nahas berlaku apabila MPV jenis Perodua Alza dipandu wanita yang juga isteri mangsa berusia 41 tahun dilaporkan hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di sebelah kiri lebuh raya.
Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.
Katanya, seorang penumpang belakang iaitu anak perempuan mangsa pula cedera di badan dan muka dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung nahas ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-982 5324 bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gambir, Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.42 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.
“Mangsa yang maut akibat tersepit di tempat duduk penumpang hadapan manakala wanita yang juga pemandu MPV itu terselamat.
“Bomba mengeluarkan mayat mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


