Polis cari pemandu MPV guna siren biru elak kesesakan di Lebuhraya MEX

POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dirakam menyalakan siren dan lampu biru berkelip untuk memotong barisan ketika kesesakan jalan raya di Lebuhraya Maju Expressway (MEX) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, nombor pendaftaran kenderaan di dalam video tular berkenaan tidak dapat dipastikan.

Menurutnya, setakat ini juga tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak berhubung kejadian itu malah penelitian di ruang komen juga tidak menemukan maklumat berkaitan nombor pendaftaran MPV berkenaan.

“Bagaimanapun, perbuatan yang dipaparkan dalam video itu dipercayai membabitkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang.

“Antaranya, Kaedah 138(1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 – Larangan pemasangan lampu amaran berkelip pada kenderaan selain daripada kenderaan kecemasan yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan suspek boleh dituduh mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan denda RM2,090 atau penjara enam bulan.

Katanya, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur penyamaran sebagai penjawat awam yang boleh dihukum penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.

“Mana-mana individu atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu sebuah klip video berdurasi satu minit tiga saat tular memaparkan sebuah MPV berwarna putih membuka siren dan lampu pandu arah seperti polis di sebuah laluan yang sesak.

Rakaman berkenaan dipercayai dirakam seorang penunggang motosikal kemudian dimuat naik seorang pengguna Facebook di sebuah kumpulan perkongsian video rakaman kamera papan pemuka menggunakan akaun tanpa nama.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img