Dadah kokain bernilai RM7.31 juta ditemukan dalam beg di Pantai Tanjung Gosong

POLIS menemukan sebuah beg berisi dadah jenis kokain seberat lebih 16.26 kilogram dianggarkan bernilai RM7.31 juta terdampar di pesisiran Pantai Tanjung Gosong di Pekan semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penemuan itu susulan maklumat awam sebelum sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Pahang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan kira-kira jam 2.45 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di dalam beg itu menemukan 14 bungkusan ketulan mampat warna hitam bertulisan stone disyaki mengandungi kokain.

“Pada masa sama, enam bungkusan sama turut ditemukan tetapi terlarut isi kandungannya kerana dipercayai terlalu lama terendam di dalam air.

“Siasatan mendapati nilai kokain dianggarkan RM7.31 juta,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, harga pasaran semasa bagi dadah berkenaan dianggarkan RM450,000 bagi setiap kilogram, selain boleh menjejaskan lebih 80,000 penagih sekiranya diedarkan ke pasaran.

Menurut Yahaya, ketika ini, pemeriksaan menyeluruh sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang untuk mengesan pihak yang terbabit termasuk merakam percakapan saksi.

Beliau turut memaklumkan tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti tempoh beg terbabit berada di laut sebelum ditemukan terdampar.

Yahaya meminta kerjasama orang ramai jika ada sebarang saksi atau rakaman video yang boleh membantu polis berkaitan kes itu untuk tampil menyalurkan maklumat.

“Sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairul Azhar Ahmad di talian 09-4221 2222 atau hotline JSJN Pahang di talian 012-208 7222,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img