SAKSI utama kemalangan membabitkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol di Klang mengakui dia masih trauma dengan kejadian ngeri yang berlaku pada Ahad lalu.
Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Megan, 42, memberitahu, dia masih tidak melupakan detik penunggang motosikal terbabit tiba-tiba terjatuh di atas bumbung kereta Perodua Myvi dipandunya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat, Klang.
Menurutnya, kejadian berlaku begitu pantas sebelum dia menyedari mangsa tiba-tiba terbaring di atas kenderaannya.
“Saya ingatkan kereta yang memotong saya itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas kereta saya. Saya sedar apabila lihat tangan mangsa terkulai di cermin hadapan sebelah bahagian pemandu, masa itu saya tak pasti keadaannya.
“Dua hari saya tak boleh tidur malam, setiap kali pejam mata, kejadian itu bermain dalam ingatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Menurut Megan, ketika kejadian dia bersama seorang rakan dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang.
Menceritakan situasi selepas kemalangan itu, dia berkata, dalam keadaan panik, dia mengambil keputusan untuk memandu perlahan bagi mengelakkan mangsa daripada terjatuh di atas jalan.
“Saya bawa kereta perlahan-lahan, saya tak mahu dia jatuh. Saya fikir, tak mengapa kalau kereta saya rosak, yang penting nyawa dia. Saya terus berhenti di tepi jalan, dalam hati saya berdoa agar dia selamat,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik sahaja turun dari kenderaan, dia mendapati mangsa sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan.
Katanya, detik itu menjadi titik trauma yang masih menghantui dirinya sehingga kini.
“Saya memang tak boleh tidur, saya takut, sampai sekarang nak bawa kereta atau motosikal pun saya fobia,” ujarnya.
Lebih merisaukan, Megan berkata, dia turut berdepan kesukaran apabila kenderaan dipandunya itu tidak dilindungi insurans komprehensif.
“Kereta itu saya pinjam daripada kawan, insurans hanya pihak ketiga, jadi saya tak dapat buat tuntutan. Sekarang saya kena tanggung sendiri kos baiki kereta, kereta pula kena tahan di balai untuk siasatan,” katanya.
Menurutnya lagi, keadaan itu turut menjejaskannya kerana dia memerlukan kenderaan untuk urusan kerja harian.
Bagaimanapun jelas Megan, beberapa saksi lain tampil memberikan keterangan sebenar berhubung kejadian itu.
“Saya sedih sebab saya dapat tahu yang mangsa ada keluarga, anak-anak masih kecil,” katanya dengan nada sebak.
Tegasnya, kejadian itu bukan sahaja meragut nyawa, malah memberi kesan kepada ramai pihak yang tidak bersalah.
“Satu orang buat salah, ramai yang susah. Saya juga turut terkesan akibat kejadian ini. Memang perbuatan individu ini sangat tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan hukuman tegas agar menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu itu, Allahyarham Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki di Jalan Raya Barat.
Siasatan awal polis mendapati sebuah kereta jenis Honda City dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke pusat bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Suspek hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas dua pertuduhan iaitu membunuh penunggang motosikal terbabit selain memasukkan dadah dalam badannya.


