KEHILANGAN seorang pemandu lori sejak Jumaat lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan maut dalam parit akibat kemalangan di Jalan Parit Penyengat Laut, Parit Jawa di Muar semalam.
Mangsa ditemukan orang awam sudah meninggal dunia dipercayai selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam parit ketika cuba mengelak seekor lembu sehari sehari sebelum itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat jam 1.10 petang ketika mangsa dalam perjalanan menuju ke Parit Nipah.
Beliau berkata, hasil siasatan awal di lokasi, mangsa dipercayai cuba mengelak seekor lembu sebelum motosikal jenis Yamaha Y100 yang ditunggangnya terbabas ke dalam parit.
“Akibatnya, lelaki itu mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa kemudiannya ditemukan oleh orang awam pada jam 10.40 pagi Sabtu dan sekali gus menjawab kehilangannya yang tidak pulang ke rumah sejak keluar bekerja Jumaat lalu,” katanya, lapor Sinar Harian.
Tambah Raiz Mukliz, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya lagi, polis meminta saksi kejadian untuk menghubungi Inspektor Muhamad Azim Aziz di talian 018-970 4143 atau tampil di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar bagi membantu siasatan.


