Kaji semula khidmat pemain warisan, siasat tuduhan FIFA, jangan sampai dua kali kita malu

AWANG bersetuju dengan pandangan banyak pihak termasuk bekas pemain kebangsaan yang menyifatkan hukuman FIFA ke atas FAM dalam isu menggunakan dokumen palsu  untuk pemain warisan adalah sesuatu yang dahsyat dan musibah besar.

Penganalisis, Pekan Ramli berkata, ia musibah besar sama seperti isu rasuah 1994  dahulu, bezanya ketika itu, ia hanya krisis dalaman tetapi kali ini ia sampai  ke FIFA. ‘’Imej kita pada peringkat antarabangsa tercalar teruk,’’ kata beliau,

Bekas pemain kebangsaan James Wong pula berkata, FAM kena kaji semula kebergantungan kepada pemain warisan berbanding melabur ke atas tenaga tempatan berbakat.

Awang sebenarnya dari awal tak bersetuju bila kita putuskan untuk menggunakan khidmat pemain warisan. Sebabnya Awang masih percaya bahawa kita mempunyai ramai lagi pemain berbakat yang boleh mewakili Harimau Malaya. Jurulatih ok la kalau nak pakai orang asing.

Awang faham, langkah FAM mungkin untuk mempertingkatkan mutu bolasepak negara dan dengan kehadiran pemain warisan atau pemain import ia diharapkan akan meningkatkan kualiti pemain tempatan. Tetapi maaf cakap setakat ini Awang tidak nampak lagi hasil itu.

Betul juga kata James Wong, skuad Harimau Malaya sedia ada nampak terlalu ‘ala barat’ dengan pemain import  mendominasi kancah bola sepak, terutama dalam perlawanan Liga Super. Sekali sekala bila Awang dengar pengulas kat televisyen sebut nama, rasa macam tengok liga sepanyol pulak…nama macam-macam.

Jadi Awang rasa dah sampai masanya FAM seperti mana dicadangkan oleh pelbagai pihak, tengok balik lah penggunaan pemain warisan ini. Awang sama sekali tidak pertikaikan sumbangan mereka kepada negara. Tetapi adalah lebih molek, kalau FAM nak jugak guna khidmat pemain warisan… ambil pemain yang bermain di Liga Malaysia bukan di luar negara atau sudah bermastautin di Malaysia.

Melalui cara itu, barulah pemain-pemain tempatan mendapat manfaat dengan kedatangan pemain import. Kalau tidak, pemain-pemain tempatan sekadar pelengkap pasukan, asyik duduk di bangku simpanan tengok pemain-pemain import/warisan beraksi.

Awang juga harap siasatan rapi dilakukan macam mana FIFA boleh ambil tindakan kat ‘hujung-hujung’, walaupun sebelum ini kata tidak ada masalah dan kesemua pemain boleh beraksi. Kena siasat kalau ada-ada tangan ghaib yang tak senang dengan kebangkitan Harimau Malaya.

Kalau isu tangan ghaib itu wujud, kita kena dedahkan biar satu dunia tahu sebab berita FAM kena denda tu heboh satu dunia. Tetapi kalau tiada unsur tangan ghaib, FAM kena siasat pula macam mana wujud dokumen yang dikatakan palsu itu. Ia satu tuduhan berat bukan boleh buat main-main.Jika ada orang kita terlibat tindakan tegas perlu diambil, jangan kompromi lagi kerana ia melibatkan soal maruah negara.

Awang harap isu ini akan diselesaikan segera. FAM bukan sahaja kena merayu segera tetapi juga siasat sedalam-dalamnya apa puncanya. Bukan apa, Awang takut kita dok ingat ‘orang luar’ buat rupanya ‘orang kita’ yang salah…2 kali malu la kita nanti.

 Awang – Buli,buli Manchester United…



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img