KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan warga asing boleh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan secara percuma seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan dan siasatan perlu dilakukan bagi memastikan kesahihan maklumat yang didedahkan.
“Kami belum dapat mengenal pasti kesahihan laporan itu, tetapi bagi saya perkara ini mustahak untuk disiasat dengan lebih rapi kerana kita perlu menghormati maklumat yang diterima.
“Kami belum dapat dengar dan kenal pastinya kesahihan laporan itu, tetapi tidak mengapa. Bagi saya mustahak untuk disiasat dengan lebih rapi kerana kita perlu menghormati maklumat yang diterima, kita juga mahu pemberi maklumat untuk dilindungi,” katanya selepas melancarkan Program Kembara Raya Bersama Cik Era di IOI Mall Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Tambah Dr Dzulkefly, dakwaan kononnya rawatan percuma diberikan kepada warga asing seperti yang tular di media sosial menerusi ‘Lampiran A’ adalah tidak benar.
“Saya nak sebutkan di sini ya, saya nak tegaskan bagaimana perkara ini kita tangani. Ya, semua pesakit warga asing perlu membuat bayaran deposit bagi kelas ketiga sebanyak RM1,400 kalau perubatan, RM2,800 kalau pembedahan sebelum dimasukkan ke wad.
“Bayaran ini akan diminta sebelum pendaftaran kemasukan warga asing. Point (perkara) yang kedua bagi pesakit pemegang kad UNHCR pula dikenakan bayaran diskaun 50 peratus daripada kadar deposit.
“Jadi dapat diskaun seterusnya pada warga asing yang mempunyai perlindungan insurans kesihatan seperti Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) atau skim insurans perubatan pelarian,” jelasnya.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) di semua fasiliti kesihatan di bawah KKM menetapkan warga asing perlu membuat pembayaran deposit, namun dalam kes kritikal penangguhan boleh diberikan sementara pesakit diselamatkan sebelum bayaran dibuat.
Isu itu tular dalam media sosial selepas timbul dakwaan warga asing antara paling ramai mendapatkan rawatan kesihatan tanpa bayaran menggunakan ‘Lampiran A’ di fasiliti kesihatan kerajaan.


