Krisis Perlis: Pas ada pilihan…Bersatu dah boleh fikir wujudkan PN 2.0

PENULIS sudah menjangkakan walaupun MB baharu Perlis sudah dilantik, ia belum tentu dapat menamatkan krisis politik negeri itu. Kenyataan pemimpin-pemimpin Pas beri isyarat, penyelesaian tidak semudah bersalaman atau bergambar selepas majlis angkat sumpah.

Sebaliknya episod seterusnya bersambung pula soal hubungan Pas-UMNO. Penulis setuju dengan kenyataan  MB Perlis, Abu Bakar Hamzah bahawa pertelingkahan akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Soalnya apakah bentuk penyelesaian itu? Adakah kedua-dua parti akan kembali bersatu hati? Atau masing-masing membawa haluan sendiri?

Adakah Perikatan Nasional (PN) akan ‘bersemadi’ manakala Muafakat Nasional (MN) ‘dihidupkan kembali’? Kalau tengok kepada sentimen, reaksi dan kenyataan pemimpin Pas, penulis tidak dapat nampak PN akan bertahan lama. Sebaliknya dari semasa ke semasa, PN semakin hampir untuk ‘disemadikan’.

Pemimpin Pas ternyata tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perlis. Tindakan lima ADUN Bersatu bersekongkol dengan tiga ADUN Pas untuk membuat akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri sebagai MB dianggap amat tidak wajar. Dulu Pas menyaksikana bagaimana UMNO menarik sokongan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM, kali ini Pas pula merasakannya.

Kalau dulu tindakan UMNO  terhadap Muhyiddin boleh lagi diterima sebab walaupun dalam satu kerajaan tetapi mereka bukan dalam satu gabungan. Tetapi Bersatu dan Pas bersama dalam gabungan rasmi PN, sudah pastilah Pas tidak boleh terima.

Justeru jika Pas membuat keputusan meninggalkan Bersatu dan seterusnya akan menyebabkan hayat PN berakhir, Bersatu tidak boleh berbuat apa-apa. Bersatu mesti akur dengan keputusan Pas. Kedua-dua parti tidak boleh hidup dalam sandiwara atau berpura-pura…semuanya masih ‘ok’ sedangkan’ ia sudah mahu ‘ko’.

Pas buatlah keputusan sama ada mahu bawa haluan sendiri atau mahu menghidupkan kembali MN bersama UMNO atau mengambil alih untuk menjadi peneraju utama PN.

Pilihan pertama, jika Pas membawa haluan sendiri, Pas masih mampu mengekalkan kekuasaan di negeri-negeri diperintahnya.

 Pas bebas bertanding di mana-mana juga kerusi tanpa perlu berunding dengan sesiapa dan jentera parti hanya bertungkus lumus untuk calon-calon Pas sahaja. Mereka tidak perlu lagi risau bersusah payah untuk calon parti lain tetapi akhirnya ‘kena pancung’.

Selain itu bertanding sendiri membuktikan keyakinan Pas terhadap ideologi perjuangan yang dibawanya. Ia kerana sekarang ada dakwaan kononnya Pas berkawan dengan Bersatu sebab mahu menampakkan  Pas sederhana bukan ekstrem. Sedangkan buat macam mana pun persepsi dalam kalangan bukan Melayu terhadap Pas tidak pernah berubah.

Pilihan kedua kepada Pas ialah menerajui Perikatan Nasional. Maknanya Pengerusi PN bukan daripada Bersatu. Pas yang jadi pengerusi, Pas yang atur strategi dan Pas yang mengetuai. Penulis pecaya pemimpin Bersatu tidak ada masalah untuk memberi lalu kepada Pas menerajui PN memandangkan dari segi kekuatan jentera pilihan raya dan sokongan akar umbi, Pas mendahului.

Pas boleh tumpu perhatian pertahankan Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan cuba menguasai Perak dan Pahang manakala Bersatu pula berusaha menawan Melaka, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kalau hendak elak kecoh, masa pilihan raya bertandinglah asing-asing seperti mana UMNO buat bersama PH, elak pertembungan. Siapa menang kerusi paling banyak, parti itulah yang menjadi MB. Pencalonan MB letak atas dasar calon gabungan bukan calon Pas atau Bersatu.

Pilihan ketiga kembali bersama UMNO menghidupkan MN. Ketika ‘cuaca tengah panas’ walaupun ‘hujan di banyak tempat’ , pilihan kembali bergabung dalam MN semakin kuat kedengaran.

Bukan sahaja daripada Pas malah juga daripada UMNO.Walaupun ada seorang dua pemimpin UMNO kata ‘dah serik’ pedulikan sebab yang bercakap tu pun bukanlah pemimpin kanan, kat negeripun tak popular.

Tidak dapat dinafikan jika UMNO Pas bergabung, ia boleh mewujudkan kekuatan politik Melayu. Ketika ini pemimpin kanan semakin lantang mahu MN dihidupkan semula, sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak terserah kepada kedua-dua pemimpin parti itu berbincang dan mencari jalan terbaik.Lagipun UMNO pun akan berbincang kedudukan dalam PH pada 3 Januari nanti, itu kata Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh.

Ada yang bertanya, kalau betullah mahu diwujudkan MN, siapakah akan meninggalkan gabungan masing-masing terlebih dahulu. Pas tinggalkan PN dulu atau UMNO tinggalkan PH dulu. Pas boleh meninggalkan PN bila-bila masa kerana kekuatan PN ada di tangan Pas bukan Bersatu manakala UMNO pula tidak akan melakukan tindakan itu dalam masa terdekat.

 Sebaliknya percayalah mereka akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal. UMNO mahu menjaga kestabilan politik negara dan harus ada alasan kukuh kenapa mahu meninggalkan kerajaan.

 Kalau setakat kerana DAP…itu alasan rapuh sebab kenapa dulu tak fikir  pemimpin DAP akan ‘buat perangai’ sedangkan semua orang tahu DAP tidak akan berubah dan tidak mungkin berubah kerana berkawan dengan UMNO.

Apa pula nasib Bersatu? Jika Pas meninggalkan Bersatu, Bersatu masih boleh meneruskan perjuangan PN memandangkan banyak parti sudah memohon menyertai PN. Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sibuk mesyuarat di sana mesyuarat di sini bertemu dengan banyak parti.

Oleh  jika Pejuang, MCA, MIC serta beberapa parti lain menyertai PN  di bawah teraju Bersatu, tidak mustahil ia boleh memberi kekuatan kepada PN 2.0 untuk menjadi pencabar kepada PH dan MN.

Kesimpulannya, krisis di Perlis mempunyai banyak hikmahnya, jika menggabungkan ayat-ayat pemimpin Pas dalam media sosial maka…. Kita boleh pelajari apa itu ‘kawan jadi lawan’ , bagaimana ‘retak boleh menjadi belah’ , terdedahnya ‘wajah sebenar’, sehingga ‘setia dan kawan sukar untuk BERSATU’ akhirnya…’’Pergilah.Usahlah kembali lagi’’.

Jadi sama-samalah kita tunggu apa akan berlaku selepas ini…pasti menarik…

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img