TINDAKAN lima ADUN Bersatu dan tiga ADUN Pas di Perlis menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga membawa kepada pertukaran Menteri Besar amat mendukacitakan, kata Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr.Haim hilman Abdullah.
Katanya, sepatutnya mereka membantu MB untuk memajukan Perlis, malangnya mereka memilih untuk berkomplot dan menjatuhkannya.
‘’Peristiwa ini wajar mendorong Pas untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama Bersatu. Pasti Bersatu juga memikirkan perkara sama. Pendekatan kepimpinan tertinggi Bersatu membenarkan rampasan kuasa berlaku boleh ditafsir bahawa mereka juga sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan Pas,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.
Dr.Haim Hilman berkata, jika Pas kekal tenang dan ‘mengizinkan’ rampasan kuasa itu berlaku, ia akan memberi gambaran bahawa Pas bukan parti yang mudah bertindak atas emosi, malahan Pas mungkin akan dianggap sebuah parti yang mempunyai tahap kematangan politik luar biasa.
‘’Namun begitu, untuk membawa perubahan besar dalam lanskap politik negara, tenang dan matang sahaja tidak mencukupi. Pas perlu dilihat sebagai sebuah parti yang penuh iltizam untuk membina harapan dan masa depan rakyat Malaysia.
‘’Pas perlu dilihat dan boleh dirasai oleh ahlinya dan rakyat Malaysia akan kesungguhannya untuk menjadi parti yang berani, tegas dan bersungguh-sungguh dalam membenteras sistem politik semasa negara yang sarat korupsi, kronisme, nepotisme, penipuan, penindasan, penganiayaan, rasis dan pengkhianatan. Atas sebab itu, adalah amat wajar untuk Pas memberi pelajaran bermakna kepada Bersatu,’’ katanya.
Sehbungan itu kata beliau, krisis Perlis adalah peluang terbaik Pas untuk menzahirkan ketegasannya dalam membina budaya politik baru buat negara – Berdisiplin, Bersih, Berintegriti, Adil & Berwawasan.
Katanya, hari ini majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, anak muda dan mereka yang rasional pasti akan menolak parti politik yang terkenal dengan korupsi, rasuah, kronisme, nepotisme, rasis melampau, penipuan, pengkhianatan dan penganiayaan.
‘’Perangai hodoh itu jugalah yang membuatkan tahap kepercayaan masyarakat kepada orang politik semakin hari semakin merosot. Telah tiba masanya anak-anak Malaysia terbaik memimpin negara. Oleh Pas berpotensi untuk muncul sebagai parti yang meneraju pemulihan politik Malaysia dari krisis kepercayaan rakyat terhadap ahli dan parti politik hari ini,’’ katanya.
Dr.Haim Hilman berkata, semua ahli politik hatta merentasi parti yang jujur, ikhlas, bersih, berintegriti, adil dan berwawasan untuk membina Malaysia baru perlu bersama.
‘’ Pas boleh memainkan peranan penyatuan ini. Ia boleh dipanggil Perikatan Nasional, Muafakat Nasional, Perpaduan Nasional atau apa sahaja boleh digagaskan. Gagasan ini boleh lebih besar dari penyatuan orang Melayu sahaja. Dengan kata lain, ia boleh juga bergerak ke arah penyatuan semua kaum utama di Malaysia,’’ katanya.
Beliau berkata, matlamat pembentukan jajaran baru berteraskan blok parti politik atau menerusi penghijrahan tokoh-tokoh (ADUN, Ahli Parlimen dan kepimpinan) berkualiti bernaung di bawah payung besar atas agenda bersama iaitu selamatkan Malaysia wajar diusahakan secara serius.
‘’Telah tiba masanya rakyat Malaysia bangkit memperbetulkan segala kepincangan yang berlaku dalam negara hari ini. Pilihlah pemimpin yang ikhlas dan tekun bekerja untuk rakyat dan negara. Jangan bimbang untuk berubah. Tinggalkan pemimpin yang korup dan sarat dengan pelbagai liabiliti. Hentikan kerakusan mereka. Hanya rakyat yang boleh melakukannnya,’’ tegas beliau.


