SEORANG wanita mendakwa dia mengalami kecederaan selepas dipukul oleh bekas suaminya berikutan perselisihan faham berkaitan tuntutan nafkah di Taman Scientex Kundang Jaya, Kundang, Selangor malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 11.47 malam itu, mangsa turut mendakwa anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia tujuh tahun turut mengalami kecederaan selepas dipercayai ditolak bekas suaminya itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Abang Kaderi Abang Wasli berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.33 pagi ini.
Menurut beliau, kejadian yang tular dalam media sosial itu berlaku ketika suspek menghantar anak ke rumah mangsa.
“Suspek yang berusia 34 tahun didakwa bertindak agresif terhadap bekas isterinya dan turut mencederakan anak perempuan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian itu, Abang Kaderi memberitahu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.
Tambahnya, kes ini kini dalam siasatan pihak polis dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Amirul Mohd Sharit di talian 016-674 0989 atau mana-mana balai polis berhampiran.


