Pengasas Yayasan Sofa harumkan nama negara, tesis PhD diiktiraf peringkat tertinggi dan bakal diterjemah dalam enam bahasa

PENGASAS Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Datuk Dr Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada akademik antarabangsa apabila berjaya mempertahankan tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) beliau di Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan, Universiti Mohammed V di Rabat, Maghribi baru-baru ini.

Sheikh Muhammad Fuad yang juga merupakan ulama terkemuka di Asia Tenggara membentangkan tesis bertajuk Imam Ahmad bin Idris al-Maghribi dan Usahanya dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai-Nilai Tasawuf: Satu Kajian Kritikal.

Berdasarkan laporan portal berbahasa Arab, Di9a.com, tesis Pengerusi Kolej Islam As Sofa itu menampilkan asas ilmiah yang kukuh dengan gabungan pendekatan akademik tradisional serta pengalaman kerohanian, selain analisis mendalam terhadap pemikiran dan pengaruh Imam Ahmad Idris, tokoh sufi terkemuka dari Maghribi.

“Pembentangan tesis itu berlangsung dalam suasana ilmiah yang tinggi dan dihadiri oleh ahli akademik universiti, penyelidik serta peserta dari Malaysia dan Maghribi yang berminat dalam bidang tasawuf dan pemikiran Islam,” lapor portal tersebut.

Sesi perbincangan diketuai oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan, Dr Zakarya Bourhim bersama barisan tenaga pengajar pakar yang memuji ketelitian metodologi, kekuatan hujah serta nilai tambah signifikan penyelidikan yang dibawa oleh Sheikh Muhammad Fuad.

“Jawatankuasa penilai sebulat suara memberikan penghargaan tertinggi, termasuk kebenaran untuk tesis ini dicetak dan diterbitkan sebagai rujukan ilmiah yang sah dan bernilai,” kata laporan itu lagi.

DATUK Dr Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin ketika membentangkan tesis berkenaan tokoh ulama Maghribi, Sayyid Ahmad Idris yang berlangsung selama tiga jam

Pembentangan viva voce yang berlangsung hampir tiga jam tersebut memperlihatkan keteguhan metodologi, keberanian akademik serta dedikasi beliau dalam meneliti fakta kehidupan dan pemikiran Imam Ahmad Idris dengan penuh amanah.

Malah, panel penilai turut menyatakan kekaguman terhadap usaha membuka ruang kajian terhadap tokoh ulama besar Maghribi yang berpengaruh di Asia, namun kurang dikenali di tanah kelahirannya sendiri.

Sebagai pengiktirafan tertinggi, tesis berkenaan dianugerahkan penilaian Musyarraf Jiddan serta disyorkan untuk dicetak dan diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia iaitu Bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis dan Jerman bagi memperluaskan manfaatnya di peringkat antarabangsa.

Sayyid Ahmad Idris RA (1760H–1837H) merupakan salah seorang ulama besar Maghribi yang pengaruhnya melangkaui sempadan geografi.

Dilahirkan di Mizoura, beliau dibesarkan dalam suasana keilmuan yang kukuh dan mendalami pelbagai disiplin ilmu termasuk hadis, fiqh dan tasawuf.

Beliau dikenali sebagai seorang muhaddith dan murabbi rohani yang tegas mempertahankan kesahihan sunnah di samping menghidupkan amalan zikir dan pembinaan akhlak.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sofa, Dr Amirul Isma Md Yusuf berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja dianggap sebagai pencapaian akademik peribadi, malah mencerminkan kesungguhan, ketekunan dan amanah Sheikh Muhammad Fuad terhadap ilmu.

“Apa yang dilakukan beliau bukan untuk menuntut penghormatan manusia namun hakikatnya ia bertujuan mengangkat keilmuan dan sumbangan besar tokoh ulama terkemuka Maghribi itu kepada khalayak.

“Ia sekali gus menjadi teladan kepada para pelajar Kolej Islam As Sofa serta generasi muda dalam menelusuri jalan ilmu secara berdisiplin dan berteraskan nilai tasawuf,” katanya.

Melalui pengiktirafan tersebut, Sheikh Muhammad Fuad bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah telah meletakkan contoh cemerlang bagi generasi muda dalam mengejar ilmu dan penghayatan nilai-nilai tasawuf secara ilmiah dan berdisiplin.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img