Pegawai sertai IACSA kukuhkan kerjasama SPRM di peringkat global

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkasakan kompetensi pegawainya di peringkat global menerusi penyertaan empat pegawai dalam International Anti-Corruption Summer Academy (IACSA) 2026.

Perkara tersebut dizahirkan dalam pertemuan secara dalam talian antara Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Interim Dean International Anti-Corruption Academy (IACA), Drago Kos yang berpusat di Laxenburg, Austria di Putrajaya, semalam.

Menurut Azam, platform seperti IACSA membuka ruang strategik kepada pegawai penguat kuasa dari pelbagai negara untuk bertukar pandangan, berkongsi amalan terbaik serta memperkukuh kefahaman terhadap pendekatan baharu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks dan rentas sempadan.

“Dalam sesi perbincangan hampir sejam itu, IACA turut mempelawa pegawai SPRM menyertai program-program profesional yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan kapasiti berterusan institusi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azam, beliau juga dijangka menghadiri Assembly of Parties (AoP) IACA pada Oktober depan yang menjadi platform penting bagi negara anggota menentukan hala tuju serta dasar organisasi tersebut.

“Sebagai tanda sokongan berterusan terhadap agenda pendidikan antirasuah global, SPRM juga menyatakan kesediaan membantu IACA mendapatkan sokongan dana daripada sektor swasta bagi memperkukuh kelestarian program latihan dan Pendidikan,” kata beliau.

Mengulas cadangan pembukaan pejabat serantau IACA di Malaysia, Azam menyambut baik hasrat tersebut namun ia tertakluk kepada pertimbangan lanjut Kerajaan.

Pertemuan ini mencerminkan komitmen konsisten SPRM dalam memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa serta mempertingkat keupayaan institusi dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh dan berkesan.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohd Hafaz Nazar dan Timbalan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Mohamad Khairol Mohamad.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img