DUA pemancing terpaksa membiarkan bot dinaiki mereka yang rosak di tengah perairan dihanyutkan arus laut hampir 11 jam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Kemaman dekat Chukai, Terengganu awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, Abdul Hafiz Imran Abd Latif, 39, dari Dungun dan Ahmad Arif Tajudin Rosli, 29, dari Paka keluar untuk memancing sebelum bot mereka mengalami kerosakan kipas enjin pada jam 4 petang semalam.
“Situasi itu mengakibatkan bot mereka tidak dapat bergerak dan hanyut dibawa arus. Mangsa hanya mendapat liputan talian telefon pada jam 9 malam dan menghubungi ahli keluarga untuk memaklumkan situasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian pada 12.30 tengah malam dan menggerakkan aset Maritim Malaysia ke lokasi pada jam 1.18 pagi sebelum berjaya menemukan kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat pada jam 3 pagi tadi.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mengambil sedikit masa berikutan kedudukan bot mangsa telah berubah dari lokasi yang dilaporkan akibat arus laut.
“Maritim Malaysia menasihatkan komuniti nelayan dan pemancing sentiasa memastikan bot dalam keadaan baik, membawa peralatan keselamatan mencukupi dan memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.


