GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan (D.R. 4/2026) berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Dalam satu kenyataan, Bersih menegaskan pembentangan RUU ini adalah manifestasi kepada lonjakan agenda Reformasi Institusi penting Kerajaan MaDANI yang memberi kesan baik untuk jangka masa panjang.
‘’Ini termasuk penegasan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa had tempoh tersebut turut terpakai kepada beliau yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih tiga tahun. Justeru, Bersih menggesa dukungan semua ahli Parlimen untuk menyokong RUU ini agar ia diluluskan di Parlimen nanti,’’ kata kenyataan tersebut.
Bersih menegaskan, jika RUU ini diluluskan, ia menjadi mekanisme untuk mengelakkan pemusatan kuasa Perdana Menteri yang memegang kuasa untuk satu tempoh yang lama yang membawa kepada kediktatoran.
‘’Bersih juga menegaskan kepentingan untuk semua anggota Parlimen membahaskan RUU ini dengan baik dan berkesan’’ kata kenyataan berkenaan.
Bersih berkata, selain daripada had penggal Perdana Menteri, Bersih turut mencadangkan agar Kerajaan turut melaksanakan Akta Penggal Tetap Parlimen untuk mengurangkan pergeseran kuasa dan pertukaran Perdana Menteri/kerajaan pada pertengahan penggal yang kerap sebagaimana sebelum ini pasca Langkah Sheraton.
‘’Pertukaran yang kerap dalam masa yang singkat akan mewujudkan kerajaan yang tidak stabil dan mengangkat prinsip demokrasi berparlimen ke peringkat yang lebih baik,’’ kata Bersih.


