SEORANG pembantu kedai kopi yang didakwa mencuri seluar dalam wanita di sebuah rumah di Yong Peng, semalam dihantar ke penjara selepas gagal menjelaskan wang ikat jamin RM2,500 yang dikenakan Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini.
Wong Yong Xin, 28, dibenarkan ikat jamin oleh Majistret Arun Noval Dass sementara menetapkan tarikh sebutan baharu memandang tertuduh kurang memahami pertuduhan yang dikemukakan dalam bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa mencuri seluar dalam berwarna putih milik seorang wanita di sebuah rumah di Taman Kota, Yong Peng pada jam 11.30 pagi semalam.
Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut laporan, wanita berusia 54 tahun itu ternampak seorang lelaki tidak dikenali mengambil seluar dalam milik anak perempuannya di ampaian luar rumah dan memasukkan ke dalam beg.
Susulan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian itu.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan tertuduh di hadapan sebuah kedai runcit bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Susulan kegagalan membayar ikat jamin, tertuduh dibawa ke Pusat Koreksional Johor Bahru untuk menjalani tahanan sementara.
Kes disebut semula pada 13 April depan untuk sebutan kehadiran jurubahasa Mandarin.


