Penuntut Politeknik maut, rakan cedera dirempuh kereta

SEORANG penuntut Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail Pagoh maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang mengubah haluan secara tiba-tiba di Bulatan Hub Universiti Pagoh, pagi tadi.

Muhammad Farish Aiman Rofizi, 19, penuntut Diploma Teknologi Kimia (Lemak dan Minyak) meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Rakannya, Reynold Rawing Fhasry, 19, turut mengalami kecederaan dan dihantar ke di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu daripada orang awam pada jam 8.10 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun sedang dalam perjalanan ke Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Pagoh.

“Kereta berada di lorong kanan bulatan manakala motosikal ditunggang mangsa di lorong kiri. Secara tiba-tiba, kereta itu mengubah haluan secara mengejut dan membelok ke kiri lalu merempuh motosikal dinaiki kedua-dua mangsa.

“Rempuhan menyebabkan mangsa penunggang terjatuh dan terbabas ke kiri jalan. Mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng, cedera di kaki dan sedang menerima rawatan di HPSF,” katanya ketika dihubungi, lapor BH.

Menurut Raiz Mukhliz, pemandu kereta terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan ujian air kencing ke atasnya mendapati dia bebas bahan terlarang.

“Polis menahan pemandu kereta bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img