Sebanyak 58 kenderaan disita dalam Ops PEWA

JABATAN Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) telah menyita sejumlah 58 kenderaan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan di sekitar Wangsa Maju, Setapak dan Gombak hari ini.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, operasi yang bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan Unit Operasi dan Falcon, hasil risikan mengenai penglibatan warga asing yang memandu tanpa lesen serta dokumen sah.

HAMIDI Adam

Menurutnya, antara kesalahan yang dikesan sepanjang operasi itu adalah tiada lesen kenderaan motor (LKM), perlindungan insurans dan lesen memandu.

“Dalam operasi kali ini, terdapat segelintir warga asing yang cuba melarikan diri, namun kita berjaya menahan kembali mereka dan dibawa ke JPJ WPKL untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini, lapor Bernama.

SEBAHAGIAN daripada 58 kenderaan kebanyakannya motosikal yang disita dalam Operasi PEWA di Depot Sitaan JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Ahmad Amirul Fahmi Ahmad Pauzi

Beliau memberitahu, operasi itu turut membongkar taktik warga asing membeli kenderaan daripada warga tempatan tanpa melakukan proses pertukaran hak milik secara sah dalam sistem bagi mengelak peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.

“Apabila disemak dengan warga asing ni, mereka sebenarnya telah membeli kenderaan tersebut daripada pemilik tapi tidak dibuat secara sah. Dalam sistem tiada pertukaran hak milik dan masih milik warga tempatan,” katanya dan menambah warga tempatan terbabit akan turut dikenakan tindakan undang-undang.

Hamidi berkata, daripada 58 pemandu warga asing itu, 15 daripadanya adalah warga Pakistan, India (13), Indonesia (11), Bangladesh (10), Myanmar (lapan) dan seorang warga Palestin.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati kebanyakan mereka bekerja membawa barang lusuh, selain ada yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan.

Sepanjang operasi itu juga, sebanyak 323 kenderaan telah diperiksa dan 283 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada LKM, perlindungan insurans dan lesen memandu.

Hamidi dalam pada itu turut memberi amaran keras kepada kontraktor pembersihan yang sering menggunakan khidmat warga asing sebagai pemandu lori sampah tanpa mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, walaupun pertemuan telah diadakan dengan pihak berkuasa tempatan serta syarikat berkaitan bagi menangani isu itu, namun masih terdapat syarikat yang berdegil apabila lima lori sampah turut disita hari ini.

Kesemua kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1), manakala saman dikeluarkan mengikut Seksyen 23(1), 23(2) dan 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Hamidi menambah, statistik sitaan PEWA oleh JPJ WPKL menunjukkan trend penurunan, iaitu sebanyak 586 kenderaan pada 2024 dan 376 kenderaan tahun lepas.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img