Sindiket judi dalam talian untuk warga asing diserbu, 19 ditahan di Bukit Bintang

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket perjudian dalam talian melibatkan warga asing menerusi satu operasi khas di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang dijalankan bermula jam 10.30 malam itu dilakukan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil serbuan, seramai 19 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 50 tahun telah ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 warga Bangladesh, empat warga Myanmar dan tiga warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua warga asing terbabit dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Sementara itu, dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

Tambah Zakaria, pihaknya turut merampas 59 unit tablet pelbagai jenama, tiga unit monitor, tiga dekoder CCTV dan sebuah CCTV wifi yang dipercayai digunakan bagi mengendalikan aktiviti perjudian dalam talian.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama dengan menawarkan pelaburan serendah RM50 hingga RM500, kononnya menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Premis sindiket ini didapati mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warganegara asing yang dikenali sebagai captain, selain membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk,” ujarnya.

Zakaria berkata, tindakan tegas dan bersepadu akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, PeraturanPeraturan Imigresen 1963, serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img