PELAKSANAAN kemasukan murid darjah satu pada usia enam tahun memerlukan kajian secara menyeluruh khususnya daripada segi kesesuaian kurikulum, persekitaran pembelajaran serta kesiapsiagaan tenaga pengajar bagi memastikan perkembangan kanak-kanak tidak terjejas.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Tee Ying Qin menyifatkan inisiatif diumumkan kerajaan hari ini mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap fokus pembinaan asas pembelajaran kanak-kanak agar tiada yang tercicir dalam sistem pendidikan.

“Namun, proses peralihan itu perlu dirancang dengan rapi supaya semua pihak berkepentingan termasuk sektor pendidikan swasta benar-benar bersedia menghadapi perubahan tersebut.
“Berdasarkan definisi antarabangsa oleh National Association for the Education of Young Children (NAEYC), pendidikan awal kanak-kanak merangkumi usia lahir hingga lapan tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak masih aktif menerokai persekitaran dan sedang berkembang dari segi jasmani, kognitif serta sosioemosi,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini.
Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan mulai 2027, murid prasekolah terdiri daripada kanak-kanak berusia lima tahun manakala murid darjah satu adalah mereka yang berusia enam tahun.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baharu pendidikan, khususnya warga pendidik.
Anwar mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Menurut Perdana Menteri, persiapan segera perlu dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menerima perubahan kepada sistem baru pendidikan negara.
Sementara itu Dr Ying Qin menambah, memandangkan kanak-kanak memulakan pendidikan rendah pada usia lebih awal, kesesuaian kurikulum menjadi faktor kritikal kerana persekitaran pembelajaran awal akan mempengaruhi minat dan sikap mereka terhadap pembelajaran pada masa hadapan.
“Jika sukatan pelajaran terlalu berasaskan buku teks dan tidak selari dengan tahap perkembangan kanak-kanak enam tahun, terdapat risiko mereka kehilangan motivasi serta semangat untuk belajar,” jelasnya.
Pakar pendidikan awal kanak-kanak itu turut menegaskan bahawa pada usia enam tahun, kaedah pembelajaran harus berasaskan penerokaan aktif melalui aktiviti bermain memandangkan tumpuan kanak-kanak pada peringkat itu masih singkat berbanding murid yang lebih matang.
“Guru perlu bersedia melaksanakan pendekatan pengajaran yang lebih berpusatkan kanak-kanak, tidak pasif dan berasaskan konsep belajar sambil bermain bagi memastikan transisi yang lancar,” katanya.
Selain aspek akademik, beliau berkata kesediaan sosioemosi dan psikologi kanak-kanak enam tahun juga perlu diberi perhatian, termasuk penyediaan tempoh peralihan yang mencukupi bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa dan murid.
“Guru yang mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak perlu diutamakan untuk mengendalikan murid usia ini kerana ada yang masih memerlukan bantuan asas dan berdepan kebimbangan berpisah dengan ibu bapa,” katanya.
Dalam pada itu, pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, pendidikan bermula pada usia enam tahun sejajar dengan amalan di negara maju dan mampu memberi manfaat awal dari segi kemahiran membaca, menulis, mengira serta perkembangan sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, cabaran utama adalah peningkatan mendadak bilangan murid apabila kumpulan enam dan tujuh tahun memasuki darjah satu serentak, sekali gus memberi tekanan kepada penyediaan bilik darjah, guru dan infrastruktur.
“Kita tidak mahu pengalaman awal persekolahan kanak-kanak enam tahun menjadi tidak menyeronokkan akibat kelas terlalu sesak, bising dan kekurangan guru,” katanya.
Anuar turut menasihatkan ibu bapa supaya menilai tahap kesediaan anak masing-masing dan tidak tergesa-gesa memasukkan mereka ke sekolah sekiranya belum bersedia daripada segi perkembangan.


