LELAKI yang maut selepas ditembak ketika disyaki cuba merompak sebuah kedai emas dekat Petaling Jaya, semalam dipercayai bertindak bersendirian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal tidak menemukan bukti pembabitan individu lain dalam kejadian berkenaan.
“Suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian dan siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang bukti pembabitan individu lain,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, semakan terhadap lelaki tempatan itu mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Dalam kejadian jam 10.59 pagi semalam, suspek yang bersenjatakan pisau dipercayai cuba merompak barangan kemas di premis berkenaan sebelum berlaku pergelutan dengan pengawal keselamatan.
“Pergelutan itu menyebabkan pengawal keselamatan melepaskan tembakan ke arah suspek hingga mengakibatkan lelaki terbabit mengalami kecederaan.
“Pengawal keselamatan berkenaan turut cedera dalam pergelutan itu. Kedua-dua individu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Shamsudin berkata, pengawal keselamatan terbabit sudah dibenarkan keluar dari hospital selepas menerima rawatan.
Bagaimanapun, suspek disahkan meninggal dunia pada jam 11.53 pagi ketika menerima rawatan di hospital.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana rompak bersenjata serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960.


