Tahun berubah,umur berubah, perangai pengotor tak berubah!

SUARA AWANG SELAMAT

ALHAMDULILLAH kita dah masuk tahun baharu 2026, maknanya umur kitapun meningkat setahun lagi. Tapi bila Awang baca berita pasal sambutan Ambang Tahun Baharu, Awang dah agak dah,  tahun saja berubah, perangai orang kita dok macam tu jugak.

Setiap tahun bila sambut saja tahun baharu, ada perangai tak bertamadun sesetengah daripada kita, suka buang sampah merata-rata. Kali ini 42 orang kena saman dan ikut undang-undang baru mereka akan dihadapkan ke mahkamah, hukuman yang menanti ialah denda RM2,000 serta buat khidmat masyarakat.

Awang pelik berlagak nak sambut kat kawasan menarik, moden macam Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan kawasan sekitar Menara Berkembar Petronas tetapi perangai pengotor tak mahu buang, sebaliknya dok buang sampah merata-rata. Orang ni kalau dah pengotor, kat rumahpun sama sahaja, entah-entah kat rumah mereka pun bersepah macam ampang pecah.

Apa salahnya buang sampah dalam tong sampah, kalau tak ada tong sampah berdekatan letaklah dalam beg plastik lepas tu pi la cari tong sampah. Ini tidak.. kat mana duduk kat situ sampah dibuang. Bersepah habis kawasan yang cantik dengan sampah-sampah puak tak bertamadun ni.

Awang tak kisah kalau yang buang sampah tu kanak-kanak, tapi masalahnya yang buat perangai tu orang-orang dewasa.Ada sesetengah kerja bagus, otak geliga tetapi bila bab jaga kebersihan ‘hancus’. Masa keluar rumah nak pi tempat-tempat tu, pakai cantik-cantik, tengok cermin berkali-kali tetapi bila sampai tempat tu buang sampah ikut suka  sebab nampak ada pekerja pembersihan tengah ‘standby’.

Fahamlah sikit, pekerja pembersihan tu memang la akan sapu atau kutip sampah tetapi itu sampah yang diletakkan dalam tong atau bertabur sebab tong dah penuh, bukannya nak kutip sampah yang sengaja ditinggalkan atau dibuangkan sesuka hati.

Awang sokong sangat bila kerajaan buat undang-undang baru kena denda dan khidmat masyarakat. Tu salah satu cara nak ajar kelompok macam tu.Khidmat masyarakat tu pula, kalau boleh hantar mereka pi sapu sampah kat tempat tumpuan orang ramai, lepas tu gantung ‘manila card’ yang tulis…’’saya dihukum kerana pengotor’…Awang percaya cara macam tu boleh bagi mereka takut nak buang sampah merata-rata lagi.

Tahun ini kita sambut Tahun Melawat Malaysia, kita kena pastikan negara kita bersih. Jangan dok buat perangai buang sampah merata-merata. Tempat-tempat pelancong pula kena dipastikan bersih. Kalau ada puak pengotor datang buang sampah merata-rata…saman saja..jangan dok kompromi.

Awang tahu buang masa saja   nasihat kat puak-puak pengotor ni, perangai mereka tak boleh ubah dah, yang boleh dilakukan ialah menguatkuasakan undang-undang. Tak guna buat undang-undang tetapi tak digunakan…macam mana hisap rokok dan vape kat restoran..kes macam tu bersepah lagi. Undang-undang ada tapi tak dikuatkuasakan. Kalau adapun sekali sekala sahaja.

Jadi Awang harap pihak berkuasa akan bertegas dalam soal perbuatan buang sampah ini. Undang-undang dah ada…kalau si pengotor tak boleh ubah perangai dia…biar undang-undang yang ubah mereka. Bila kena denda RM2,000 jangan dok buat muka sedih…minta kurang atau bagi macam-macam alasan..bayar saja!

Awang – Selamat Tahun Baharu 2026

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img