Tayar pecah ke mabuk?

SEORANG lelaki yang tular dalam video memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) secara berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi di ibu negara mendakwa tindakan itu berpunca daripada tayar keretanya pecah selepas terlanggar lubang.

Polis mengesan video berdurasi satu minit yang dimuat naik dalam media sosial sejak semalam menunjukkan kenderaan jenis Range Rover Velar itu dipandu dalam keadaan berbahaya menghala ke arah Taman Naga Emas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kenderaan berkenaan dikesan bergerak dengan tayar belakang sebelah kanan dalam keadaan pecah serta hancur dan bergerak di atas jalan pada jam 8 pagi.

“Perbuatan berbahaya pemandu itu turut dirakam seorang penunggang motosikal, sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuchai Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu kenderaan berusia 32 tahun itu tampil ke balai polis trafik jam 10.30 pagi ini.

“Alasan lelaki itu memandu dalam keadaan berbahaya kerana tayar pecah selepas terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat, dia meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah,” ujarnya.

Mohd Zamzuri berkata, proses siasatan sedang dijalankan termasuk ujian saringan air kencing dan nafas (EBA) akan dilakukan terhadap pemandu tersebut.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img