PAS mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa terhadap Iran di Selat Hormuz.
Menurut Abdul Hadi, pengecualian harga minyak di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa alasan kenaikan harga di Semenanjung adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.
Beliau mendakwa, Malaysia tidak terjejas oleh sekatan terhadap Iran kerana keberanian rakyatnya menyokong kedaulatan negara Islam tersebut.
“Masalah sebenar yang berlaku adalah banyaknya kebocoran dan salah laku dalam pengurusan.
“Tidak ada sebab menaikkan harga minyak sedangkan sebelum ini ada kenyataan berdegar-degar kononnya boleh menyelesaikan isu ini dalam masa kurang 24 jam,” ujar beliau dalam satu kenyataan bertajuk ‘Minda Presiden Pas’ hari ini.
Beliau turut memetik amaran negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad agar bangsa Melayu tidak mudah lupa, terutamanya terhadap janji-janji manis politik yang gagal dikotakan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan kepimpinan semasa yang gagal menurunkan harga minyak sebagai bersikap penakut dan menggunakan alasan global sebagai perisai.
Beliau menyifatkan pemimpin sedemikian sebagai ‘murid penjajah’ yang pandai berlakon dan menipu rakyat demi mengekalkan kuasa.
“Rasulullah SAW pernah memberi amaran supaya orang beriman tidak ditipu berulang kali sehingga memperlihatkan kebodohannya.
“Malulah bangsa Melayu yang mengaku Islam sekiranya boleh ditipu berkali-kali oleh pemimpin yang boleh diajak menari di atas pentas,” tambah beliau lagi.
Menyentuh isu antarabangsa, Abdul Hadi membela tindakan Republik Islam Iran yang menyerang balas pangkalan musuh.
Beliau mendakwa, terdapat penipuan naratif yang cuba melagakan mazhab Sunni dan Syiah bagi menutup kelemahan negara Arab yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat dan Israel.
“Negara-negara ini tidak mengutuk Zionis yang menceroboh, sebaliknya mengutuk Iran yang membalas serangan. Ini adalah penipuan baharu.
“Rakyat ditipu kononnya Iran menceroboh jiran, padahal Iran membantu rakyat Palestin yang majoritinya Sunni,” jelasnya.
Beliau menyeru umat Islam agar tidak hanya menjaga ibadat ritual seperti solat dan haji, tetapi juga memerdekakan aspek ekonomi daripada terus ‘menyembah’ institusi kewangan Barat seperti Bank Dunia dan IMF.
“Allah meletakkan otak di atas kepala untuk berfikir, bukan searas dengan perut seperti binatang ternakan yang hanya memikirkan nafsu. Berfikirlah dengan matang dan jangan biarkan diri terus ditipu oleh syaitan berwajah manusia,” ujarnya.
Dalam kenyataan sama, Abdul Hadi turut mengingatkan bahawa sejarah kejatuhan tamadun Melayu dahulu berpunca daripada kelemahan iman dan pemimpin yang berpecah-belah, sekali gus menggesa penyatuan umat di bawah panji Islam yang syumul.


