DUA pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) antara empat individu direman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah melibatkan projek penyelidikan bernilai RM5 juta.
Perintah reman selama empat hari bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret S Punitha di Mahkamah Majistret Ipoh selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Permohonan tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas semua suspek mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an tiba di pekarangan mahkamah jam 10.05 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga sebelum dibawa keluar pada jam 11.42 pagi.
Tangkapan ke atas suspek dilakukan di pejabat SPRM Perak antara jam 2 hingga 5 petang semalam dan turut membabitkan seorang pegawai syarikat minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan.
Selain tangkapan tersebut, SPRM turut membekukan sebanyak 70 akaun bank yang mempunyai baki bernilai kira-kira RM8.5 juta dan menyita tujuh kenderaan bagi membantu siasatan.
Sumber memaklumkan, wang rasuah itu dipercayai sebagai balasan bagi membantu beberapa syarikat mendapatkan projek penyelidikan dan membabitkan penyelewengan dana penyelidikan IPTS berkenaan.
Siasatan awal mendapati kegiatan ini dilakukan antara tahun 2019 hingga 2025 dengan pegawai dan pengarah syarikat tersebut bertindak sebagai proksi kepada kedua-dua pensyarah itu untuk menerima wang berkenaan.


