SUARA AWANG SELAMAT
Awang kadang kala pelik dengan perangai manusia terutama mereka yang berlagak nak jaga status. Puak ini bergaya sakan, maklumlah duit banyak. Pakai kereta, semua mewah-mewah, kalau lintas depan Awang mau meleleh air liur.
Tapi apa guna pakai kereta mewah, kalau perangai hodoh tak nak bayar cukai jalan. Awang terkejut bila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kata, lima jenis kenderaan mewah paling popular iaitu Rolls-Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche mencatat jumlah tunggakan cukai jalan yang tinggi cecah RM35.7 juta.
Mereka ini hebat-hebat belaka ada yang bergelar Tan Sri dan ada pula ahli politik atau ahli perniagaan ternama.. Apa ni…kalau dah tak mampu nak bayar cukai jalan… pakai kereta murah aje la. Buat apa nak berlagak dengan kereta mewah, entah-entah kereta mewah tu pun beli ‘recond’ atau kawan jual lelong.
Awang percaya puak yang jenis liat bayar cukai jalan ni, pakai la kereta apa sekalipun kalau cukai jalan tu RM90 pun belum tentu mereka bayar, sebab jenis ‘spesis’ nak berlagak tapi kedekut. RM35.7 juta bukan sikit…banyak tu macam-macam kerajaan boleh buat untuk tolong rakyat.
Jadi Awang minta kepada Kementerian Pengangkutan jangan bagi muka lagi, tak kira la Tan Sri ke, Puan Sri ke, Datuk Seri ke, kuih seri muka ke…jangan bagi muka lagi.Nama dah ada, alamat dah ada…Kementerian nak tunggu apa lagi? Perhebatkan operasi untuk kesan mereka yang terlibat.
Nama operasi ‘comel’ dah ‘op luxury’ tapi kalau tak ada hasil buat apa? Kalau golongan marhaen kena tahan tepi jalan, motosikal atau kereta mereka kena sita..kalau ikut cukai jalan mereka banyak mana la sangat. Awang bukan kata tak boleh…boleh buat operasi tu tapi tumpulah dulu buru puak-puak kaya yang nak berlagak tapi liat bayar cukai jalan tu.
Anthony kata akan dedah nama pemilik kalau mereka berdegil tak nak bayar. Bagi Awang umum sahaja siapa mereka yang liat sangat nak bayar tu. Cukai kereta mereka antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun tapi harga kereta jauh lebih mahal, apa hal tak nak bayar cukai tu. Silap-silap harga curut yang mereka hisap tu boleh bayar cukai jalan 10 tahun… kalau dikumpul.
Kata Anthony, operasi ‘op Luxury’ ini bukan bertujuan memalukan individu tertentu…bagi Awang memang patutpun mereka dimalukan. Ini tak ada kaitan dengan soal membuka aib orang. Kalau mereka boleh muka tak malu naik kereta mewah guna jalan raya atau lebuhraya bersama dengan orang lain yang bayar cukai jalan, tak kan lah nak rasa malu bila kena tangkap masa operasi?
Kalau mereka ada rasa malu, dah pasti mereka dah bayar cukai jalan itu. Berlagak dok belakang.. ada driver pi mana-mana tapi kereta cukai jalan pun tak ada…tak malu ke?
Patutnya mereka rasa malu sebab ramai lagi orang walaupun pakai kereta lama atau orang kata ‘kereta buruk’ tetap bayar cukai jalan. Memanglah jumlah bayaran tu sedikit tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu tanggungjawab sebagai warga negara. Ini status hebat, kereta hebat tapi bila bab nak kena bayar cukai jalan buat-buat tak ingat. Buat malu saja!
Jadi Awang harap kerajaan khusus Kementerian Pengangkutan bertindaklah. Ambil tindakan ke atas mereka yang sudah pun ada dalam senarai terutamanya ahli politik dan ahli perniagaan. Ahli politik pandai cakap nasihat rakyat patuhi undang-undang tapi dia sendiri perangai ‘ke laut’, ahli perniagaan pula pandai berniaga sampai kaya raya tapi bila bab nak bayar cukai jalan ‘terus hilang otak geliga bisnes dia’…Buruk sungguh perangai!
Awang –pakai Axia..jimat


