SEORANG lelaki dipercayai pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah longkang berhampiran rumahnya di Taman Menglembu Impiana Adril di Ipoh hari ini.
Mayat lelaki terbabit ditemukan kira-kira 30 meter dari rumahnya dan hanya disedari jiran yang ketika itu mahu meletakkan kenderaan di lokasi kejadian sekitar jam 11.20 pagi.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Mani, 58, berkata, ketika meletakkan kenderaan di situ keretanya seperti terlanggar objek kecil.
“Jadi saya turun dari kereta tengok macam ada lampu suluh. Masa itulah saya nampak ada lelaki berlumuran darah di muka dalam longkang.
“Lepas itu saya pergi jumpa kawan minta tolong telefon polis,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, mayat lelaki terbabit telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.


