SEORANG lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan yang keluar dari persimpangan di kilometer 12.3, Jalan Pantai, Port Dickson pagi ini.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 9 pagi membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa, Mohammad Nazir Taqqiuddin Zahari, 21, dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dipandu seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kemalangan berlaku apabila MPV itu keluar dari simpang sebuah kawasan perumahan untuk memasuki jalan utama sebelum dirempuh motosikal yang datang dari arah Taman Intan Perdana menghala ke Sunggala Gateway.
“Berikutan kejadian itu, penunggang motosikal yang bekerja sebagai penjaga stor sebuah pasar raya dan dalam perjalanan ke tempat kerja cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu MPV itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Maslan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.


