SEORANG pengawal keselamatan wanita maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan dipercayai akibat terlelap ketika memandu di Jalan Bombalai–Merotai, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Jumahirah Ramalan, 38, yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlelap ketika memandu dari tempat kerja menuju ke rumahnya.
“Ketika melalui satu selekoh, kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga.
“Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa berpusing semula ke laluannya sebelum bertembung pula dengan sebuah pikap Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata, pemandu Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan perut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan serius.
“Hasil semakan lanjut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk selepas selesai bertugas di Hospital Tawau,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan pikap terbabit.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.


