POLIS menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki yang ditemui parah dipercayai ditetak dalam kejadian di Buntong, Ipoh, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu melibatkan mangsa yang ditemui terbaring di tengah jalan dalam keadaan cedera parah akibat diserang dengan senjata tajam.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat awal berhubung satu pergaduhan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang kemudian bertindak menyerang menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, beberapa rakan mangsa turut cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Tambahnya, seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala usaha mengesan suspek lain masih giat dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mendatangkan kecederaan parah serta merusuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh,” katanya.


