MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil membidas kritikan pembangkang terhadap kajian kebolehlaksanaan berkaitan cadangan pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang dilaksanakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata, pihaknya kesal apabila ada ahli politik yang mempertikaikan keupayaan institusi pengajian tinggi tempatan, khususnya UIAM, dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dasar awam.
“Cuma saya kesal ada pihak yang mempertikaikan keupayaan UIAM untuk melakukan kajian ini. Bagi saya itu satu sikap yang tidak baik oleh ahli politik ini.
“Dia sepatutnya melihat UIAM sebagai satu institusi pendidikan yang mampu melakukan kajian. Jadi bagi saya, he should not say that (dia tak patut cakap begitu). Very irresponsible (sangat tidak bertanggungjawab),” katanya kepada pemberita dalam sidang media mingguan di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu sebagai satu sikap yang memandang rendah peranan penting institusi pendidikan tinggi dalam pembangunan negara.
Menurutnya, UIAM bukan sahaja melahirkan pemimpin dalam negara malah tokoh-tokoh berpengaruh di peringkat antarabangsa.
“UIAM adalah institusi yang sangat penting dan telah melahirkan ramai pemimpin bukan hanya dalam negara kita malah di negara-negara lain.
“Sikap ahli politik ini, seorang setiausaha agung sebuah parti yang mempunyai calon berlori-lori untuk Perdana Menteri tetapi mempunyai sikap seperti ini, bagi saya itu satu sikap yang sangat buruk,” ujarnya.
Beliau menegaskan institusi akademik memainkan peranan kritikal dalam menjalankan kajian dasar dan tidak wajar dijadikan sasaran serangan politik.
“Jangan memandang rendah institusi pengajian tinggi kita, khususnya UIA,” katanya.


