KERAJAAN memutuskan untuk menubuhkan satu badan bertindak khas atau Task Force bagi menyelaras tindakan berhubung isu penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan pekerjaan serta masalah lambakan barangan di pasaran tempatan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat oleh Kabinet hari ini hasil arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Task Force berkenaan akan diselaras oleh Kementerian Kewangan dan melibatkan beberapa kementerian utama antaranya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Perdana Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Kewangan membantu menyelaras dan membentuk satu badan bertindak khas yang akan memberi fokus serta keutamaan kepada penyelarasan aspek penguatkuasaan dan perundangan berkaitan penyalahgunaan pas sosial untuk tujuan kerja.
“Ini merupakan isu yang saya bangkitkan minggu lalu berhubung penggunaan pas sosial oleh individu tertentu untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu secara tidak sah,” katanya dalam sidang media mingguan di Menara Komunikasi, Putrajaya hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata, Task Force berkenaan turut akan meneliti isu lambakan barangan di pasaran yang dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“KPDN mendapati terdapat beberapa barangan tertentu yang telah mula dilambakkan dalam negara kita. Oleh itu, tindakan menyeluruh akan diambil termasuk terhadap aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan sedia ada,” ujarnya.
Beliau menegaskan, penubuhan Task Force ini bertujuan memastikan tindakan pantas, segera dan menyeluruh dapat dilaksanakan bagi melindungi kepentingan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut diadakan dalam masa terdekat.


