SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan reman seorang pegawai kanan teknikal dan seorang pengurus cawangan sebuah anak syarikat milik kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2 juta.
Difahamkan, wang rasuah itu daripada sebuah syarikat teknologi maklumat dan perkakasan berhubung satu kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem telekomunikasi di selatan tanah air.
Perintah reman selama lima hari sehingga Ahad ini terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.
Menurut sumber, suspek utama lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur manakala suspek kedua yang juga merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an telah ditahan kira-kira jam 4 petang semalam di pejabatnya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023 dan menerima rasuah secara bulanan kira-kira RM60,000.
“Siasatan yang dijalankan kerjasama antara Bahagian Perisikan dan SPRM KL ini turut mempercayai kedua-dua suspek telah menerima wang rasuah secara tunai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.


